Feed on
Posts
Comments

Bagi mengempiskan perut yang buncit atau boroi, ambil dua (2) sudu cuka Nipah di campur dengan dua (2) sudu madu lebah, di minum dan di turuti dengan setengah gelas air suam. Amalkan pada waktu awal pagi , insya’Allah mujarab. Di ambil petua ini dari amalan seorang guru agama dari Kepala Batas, Pulau Pinang.

Taqwa

Taqwa

Menurut erti harfiah, taqwa bererti: hati-hati, ingat, mengawasi diri, berwaspada. Kata taqwa tidak dapat di ertikan sama dengan ”takut”, kerana sifat takut itu lebih banyak bercampur dengan rasa berani. Padahal persoalan taqwa ialah segi hubungan manusia dengan Tuhannya, di mana tidak boleh terdapat dalam hubungan itu unsur benci walaupun sedikit.

Dalam pengertian umum, taqwa ialah sikap dan cara berfikir atau mentaliti orang-orang mukmin dan kepatuhannya dalam melaksanakan perintah-perintah Allah s.w.t. serta menjauhi larangan-laranganNya atas dasar kecintaan semata.

Kriteria Orang yang bertaqwa

Untuk memahami taqwa itu dengan sebaik-baiknya, sudah tentu Qur’an lah sebaik-baik rujukan dalam memberi penjelasan dan keterangan kepada kita. Menurut Al-Qur’an, kriteria orang yang bertaqwa adalah sepertimana berikut:

Ertinya :

”Alif, Laam, Miim. Kitab Al-Qur’an ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi pertunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa; Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab ”Al-Qur’an” yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yaqin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya). Mereka itulah yang tetap mendapat pertunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.”

( Surah Al-Baqarah (2) : 1 – 5 )

Berdasarkan ayat-ayat Al-Qur’an di atas, dapat di fahami bahawa, taqwa itu terdapat pada:

1. Mereka yang beriman pada yang ghaib seperti adanya Allah s.w.t., malaikat- malaikat dan Hari akhirat.

2. Mereka yang melaksanakan pokok-pokok Ibadah ( terutamanya solat, zakat, dan mereka yang berinfaq, membelanjakan hartanya di jalan Allah ). Ini menjadi bukti adanya iman bagi seseorang kepada yang ghaib.

3. Mereka beriman kepada yang ghaib dan melaksanakan pokok-pokok ibadah adalah orang yang beruntung hidupnya atau berjaya. Berjaya adalah cita-cita dan tujuan akhir dari segala kerja-kerja manusia di dunia ini. Sebab itu bila seseorang itu bertaqwa, maka dia di katakan telah sampai pada satu darjat yang tinggi.

Kitab Al-Qur’an selanjutnya menerangkan lagi berkenaan taqwa, sepertimana yang berikut:

”Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik; Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.”

(Surah Ali Imran (3) : 133 – 136)

Menurut ayat-ayat di atas, kriteria muttaqin (orang-orang taqwa) ialah mereka yang :

1. Selalu menuju kepada ampunan (maghfirah) Tuhan. Ertinya sentiasa bekerja sesuai dengan redha Tuhan, bukan yang di larang dan yang di murkaiNya. Dan bila tersalah atau terlupa, cepat beristighfar (mohon ampun) pada Tuhan.

2. Suka menafkahkan (infaq) sebahagian harta bendanya, baik di waktu lapang mahupun di waktu sempit. Membayar zakat, memberi makanan kepada fakir miskin dan anak-anak yatim, memberi sumbangan atau derma kepada kegiatan dakwah Islam dan sebagainya, semuanya termasuk di dalam kategori menafkahkan sebahagian harta benda.

3. Sanggup menahan amarahnya. Ertinya orang yang dapat mengendalikan emosi dan nafsunya. Kemampuan seseorang mengendalikan emosi dan nafsunya membuat dia menjadi manusia besar, bukan besar fizikal tetapi besar jiwanya.

4. Memaafkan kesalahan orang lain. Tidak menaruh dendam terhadap seseorang kerana sesuatu kesalahan, baik sengaja mahupun tidak. Kerana dendam itu dapat membawa bencana terhadap diri sendiri, orang lain dan kepada masyarakat.

5. Berbuat baik, pemaaf dan jujur. Semua menjadi tanda takwa kepada Allah.

6. Apabila berbuat keji (faahisyah) dan menganiaya diri sendiri, segera mengingati Allah lalu memohon ampun. Perbuatan faashiyah ialah dosa besar yang mana bahayanya tidak hanya menimpa diri sendiri tetapi juga orang lain, seperti: membunuh, zina dan riba. Sedang menganiaya diri sendiri ialah melakukan dosa yang bahayanya terhadap diri sendiri sahaja.

7. Tidak lagi meneruskan perbuatan dosanya ketika dia mengetahui bahawa perbuatan itu mengandungi dosa. Atau tidak mengulangi kembali dosa-dosa dan kesalahan-kesalahan yang pernah dilakukannya secara sedar.

Keterangan ini menegaskan bahawa taqwa itu adalah sikap hidup dan akhlak seorang muslim, yang merupakan buah dan hasil didikan ibadah-ibadah pokok. Sedang ibadah-badah itu sendiri adalah pancaran keluar daripada iman. Tepat sepertimana firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah, ayat 21:

Ertinya :

Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang) bertaqwa.”

Berikut ini ada lagi beberapa kriteria orang-orang yang taqwa sepertimana di jelaskan di dalam Al-Qur’an, iaitu mereka yang :

1. Menepati Janji.

Bahkan (mereka berdosa memakan hak orang, kerana), sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.”

(Surah Ali Imran (3) : 76)

2. Menegakkan Keadilan.

Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”

(Surah Al-Maidah (5) : 8)

3. Bersifat Pemaaf.

Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh daripada maskahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka mema’afkannya (tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu mema’afkannya (memberikan maskawin itu dengan sepenuhnya). Dan perbuatan kamu berma’af-ma’afan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.”

(Surah Al-Baqarah (2) : 237)

4. Bersifat Istiqamah, iaitu berkeperibadian kuat dan teguh.

Bagaimanakah dapat diakui adanya perjanjian (keamanan) disisi Allah dan RasulNya bagi orang-orang musyrik (sedang mereka mencabulinya)? Kecuali orang-orang (musyrik) yang kamu telah mengikat perjanjian setia dengan mereka dekat masjid Al-Haraam. Maka selagi mereka berlaku lurus terhadap kamu, hendaklah kamu berlaku lurus (istiqamah) pula terhadap mereka; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.”

(Surah At-Taubah (9) : 7)

5. Tidak mempunyai rasa takut dan duka cita dalam hidup yang mencabar, seperti sifatnya wali-wali Allah.

Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali- wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.

(Surah Yunus (10) : 62-63)

6. Sabar, iaitu orang yang tabah, tahan uji, pantang menyerah dan berputus asa. Sabar dalam beribadah, sabar dalam berjihad, sabar menghadapi musibah, sabar dari perbuatan maksiat dan sabar dari godaan duniawi.

Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).”

(Surah A-li’Imran (3) : 200)

Manusia yang berjaya mencapai darjat takwa kemudian berusaha mempertahankannya, di anggap sebagai manusia yang berjaya ibadahnya. Allah s.w.t. meletakkan manusia takwa sebagai manusia yang paling mulia disisi dan dalam pandanganNya, seperti firmanNya di dalam Surah Al-Hujarat (49) : Ayat 13, maksudnya:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya diantara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).

Di baca pada gula batu dan di hancurkan di beri makan atau di baca pada air mati dan di beri minum atau air di campur pada susu bagi bayi atau kanak-kanak yang masih minum susu. Menghilangkan penyakit batuk atau penyakit lelah (penat) dan menghilangkan lelendir dalam badan. Ini ayatnya yang di baca :

Bismillahirrohmanirrohim

Terangkat-angkat

Kelam Cahaya kelam

Cahaya kelam

Cahaya cerah

Nyawa aku / ( sebutkan nama pesakit )

Bukan kuasa aku,

Tapi kuasa Allah s.w.t.

Selowat - 3 kali

Insya’Allah mujarab.

( Ucap terima kasih pada ’Makcik Jah’, Kangar, Perlis yang telah mengajar ayat ini. Semoga Allah s.w.t. murahkan rezeki beliau dan keluarganya )

KUALA LUMPUR 28 April - Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak/Sivil Kali ke-18 sebulat suara berpendapat bahawa tidak ada keperluan bagi mereka yang bukan Islam memaklumkan kepada keluarga sebelum memeluk agama itu.

Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz yang mempengerusikan persidangan berkenaan berkata, berdasarkan hukum syarak tidak ada nas mensyaratkan supaya seseorang yang ingin memeluk agama Islam perlu memaklumkan terlebih dahulu kepada keluarga mereka.

“Ahli persidangan juga berpendapat tindakan memaklumkan keluarga diserahkan kepada kebijaksanaan individu yang ingin memeluk agama Islam itu sendiri.

“Individu yang ingin memeluk Islam akan menentukan cara, bagaimana dan bila masa yang sesuai untuk memberitahu keluarganya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Wan Mohamad, peruntukan undang-undang sedia ada mengenai kemasukan Islam dan perkara berkaitan dengannya adalah mencukupi serta amalan sedia ada akan diteruskan.

“Kaedah-kaedah pendaftaran, penjagaan dan pengajaran mualaf perlu digubal supaya lebih mantap dan berkesan,” katanya.

Tambah beliau, berdasarkan hukum syarak, kewajipan dan tanggungjawab terhadap ibu bapa yang tidak memeluk agama Islam adalah tidak terhenti meskipun seseorang itu telah memeluk agama Islam.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan untuk memperkenalkan satu peraturan baru mewajibkan mereka yang ingin memeluk agama Islam mengisytiharkan perkara itu secara terbuka bagi mengelak masalah pada kemudian hari.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika membuat pengumuman berkenaan berkata, tindakan memeluk Islam yang dibuat secara senyap-senyap seperti diamalkan sebelum ini mengundang banyak masalah sehingga menyebabkan berlaku ketegangan kaum.

Komen  :   Sebagai seorang muslim, Perdana Menteri sepatutnya merujuk kepada para Ulama’ dahulu sebelum membuat pengumuman sebab beliau bukan ahli dalam agama Islam. Jika tindakan memeluk Islam di isytiharkan kepada keluarga akan menyebabkan masalah besar kepada si pemeluk Islam. Telah ramai yang hilang nyawa  di bunuh dengan kejam dan di aniaya secara terang-terangan. Jangan lah di sebabkan takut hilang kuasa dan sokongan, ajaran agama yang sebenar di buang  tanpa rasa berdosa.  Walaupun kita seorang Raja, kita tetap hina di sisi  Allah s.w.t.  Al-Quran dan Hadith adalah rujukan utama  kita.

Amalan dan Kadar

Di hikayatkan bahawa ada seorang ulama’ yang telah menghafal empat ribu hadis Nabi s.a.w. kemudian beliau menjumpai sebuah hadis yang mempunyai empat kalimah ini, lalu ditinggalkan empat ribu hadis tersebut dan beliau mengamalkan hadis yang satu ini:

 

Sabda Rasulullah s.a.w.:

 

”Bekerjalah untuk dunia sekadar mana engkau tinggal di dalamnya, bekerjalah untuk akhirat sekadar mana engkau kekal padanya, bekerjalah untuk neraka sekadar mana kesabaran terhadapnya, dan beramallah untuk Allah sekadar mana engkau berhajat kepadaNya.”

 

Di ceritakan bahawa sesetengah raja zaman dahulu kala menyuruh khadamnya menulis hadis ini dengan menggunakan dakwat air emas dan beliau menilik padanya dengan mengambil iktibar, pada setiap hari…

 

 

Aisyah radziallahu ’anha berkata:

 

Ertinya:

 

”Sukakah saya beritakan padamu surah yang kebesarannya memenuhi antara langit dan bumi, dan untuk orang yang menulisnya mendapat pahala sebesar itu, dan siapa yang membacanya pada hari Juma’at  diampunkan baginya apa yang terjadi padanya sejak Juma’at yang lalu ditambah tiga hari. Dan siapa yang membaca lima ayat yang terakhir ketika akan tidur maka Allah membangunkan di waktu malam sekehendaknya untuk bangun, iaitu Suratul Kahfi.”

 

Doa Pada Hari Jumaat

Daripada Anas bin Malik r.a. daripada Nabi s.a.w. sabdanya:

”Tuntutlah oleh kamu satu waktu yang diharapkan pada hari Juma’at kemudian daripada Asar sampai lenyap matahari.”

1. Hari Juma’at adalah hari yang dimustajabkan doa’, seperti hadith riwayat Termizi.

2. Do’a mustajab ialah kemudian daripada Asar hingga lenyap matahari.

3. Kata Ahmad, kebanyakan hadith yang menyebutkan saat yang di harapkan padanya mustajab doa’ ialah kemudian daripada Asar, dan diharapkan kemudian daripada gelincir matahari.

4. Ada yang mengatakan waktu mustajab itu ialah pada waktu keluar imam sampai selesai sembahyang.

5. Kata setengahnya, ialah ketika berdiri sembahyang hingga sampai selesai sembahyang.

6. Kata setengahnya, ialah ketika waktu duduk imam atas mimbar hingga selesai sembahyang.

7. Kata setengahnya, ialah satu lahzah daripada hari Jumaat itu.

8. Kata setengahnya, daripada tergelincir matahari sampai jadi bayang-bayang itu sehasta.

9. Kata setengahnya, ia tersembunyi di dalam sehari itu sekaliannya seperti malam lailatul Qadar.

10. Kata setengahnya, daripada terbit fajar sampai terbit matahari.

11. Kata Imam Nawawi, hadith yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Abi Musa daripada Nabi Muhammad s.a.w. bahawa waktu mustajab itu ialah di antara duduk imam sampai selesai sembahyang.

30/01/2008 5:51pm

SHAH ALAM 30 Jan. - Bekas Mufti Selangor, Datuk Ishak Baharom, 80, meninggal dunia di Hospital Sungai Buloh tengah hari ini selepas hampir 21 jam dirawat di unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan.

Timbalan Pengarah Perubatan Hospital Sungai Buloh, Dr. Khalid Ibrahim berkata, Allahyarham meninggal dunia pada pukul 2.50 petang akibat pendarahan dalam kepala.

Beliau telah dimasukkan ke hospital tersebut pada pukul

6 petang semalam.

Jenazah Allahyarham akan dikebumikan esok.

KUALA LUMPUR:    Kementerian Keselamatan Dalam Negeri mengharamkan 11 buku,     lapan dalam bahasa Inggeris dan tiga lagi dalam bahasa Melayu kerana didapati fakta yang terkandung dalam buku berkenaan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Setiausaha Bahagian Kawalan dan Teks Al Quran, Che Din Yusoh berkata pewartaan Perintah Larangan itu yang dikeluarkan pada 17 Januari lalu menurut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Beliau berkata buku dalam bahasa Inggeris diharamkan ialah Secrets Of The Koran: Revealing Insights Into Islam’s Holy Book oleh Don Richardson (Regal Books From Gospel Light, Ventura, Calfornia, USA); Qur’an and Women Rereading the Secrets Text From Woman’s Perspective oleh Amina Wadud (Oxford University Press, New York); The Two Faces Of Islam: Saudi Fundamentalism and It’s Role in Terrorism oleh Stephen Schwartz (Anchor Books, New York).

Turut diharamkan ialah buku Woman In Islam, oleh Margaret Speaker Yuan (Greenhaven Press Farmington Hills); Islam Unveiled: Disturbing Questions About The World’s Fastest-Growing Faith oleh Robert Spencer (Encounter Books Califonia); What Makes Me A Muslim oleh Catherine M. Petrini (KidHaven Press Farmington Hills); The Importance Of Muhammad oleh Marilyn Tower Oliver (Lucent Books, Farmington Hills) dan Faiths Islam Worship, Festival and Ceremonies From Around The World oleh Trevor Barnes (Kingfisher, Massachusets).

Tiga buah buku dalam bahasa Melayu yang diharamkan ialah Amalan Kemurahan Rezeki oleh Lifa Karimah (Jasmin Enterprise), Rahsia Jalan Yang Lurus (Al-Mustaqim, Johor Bahru) dan Islam & Pluralisme oleh Al-Mustaqeem Mahmood Radhi (Middle Eastern Graduate Centre, Damansara Kuala Lumpur), katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Che Din berkata mereka yang sabit kesalahan mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau memiliki bahan penerbitan yang dilarang boleh dikenakan tindakan penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

 

Al-Quran – (Bahagian I)

img_0138.jpgAl-Quran disebut juga al-Kitab, adalah wahyu-wahyu yang di turunkan Tuhan kepada RasulNya, dengan perantaraan Malaikat Jibril, untuk di sampaikan kepada manusia.

Kumpulan dari semua wahyu itu, yang berjumlah menurut perhitungan yang umum 6,236 ayat terdiri daripada 114 Surat, diturunkan dalam dua masa. Pertama di Makkah, dalam masa 13 tahun, yang sejak Rasulullah s.a.w. di tentukan Tuhan dan ditetapkanNya menjadi Rasul pada tahun ke 41 daripada usianya, sampai beliau berpindah ke Madinah. Kedua ialah masa Madinah, iaitu sejak beliau berpindah ke negeri itu sampai beliau wafat, dalam masa sepuluh tahun.

Erti al-Quran menurut bahasa (lughah) ialah barang yang di baca.

Dan al-Quran itu menurut undang-undang bahasa adalah kalimat Mashdar, iaitu dasar kata, yang bererti bacaan, tetapi di ertikan lebih dekat kepada sesuatu yang dikerjakan (isim maf’ul) menjadi ertinya yang dibaca.

Menurut ahli-ahli Syariat, al-Quran itu ialah Kalamullah (sabda Tuhan) yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang dituliskan di dalam Mushaf.

Dan ahli Fiqh menentukan pula bahwasanya al-Quran itu adalah nama yang diberikan kepada keseluruhan al-Quran dan dinamakan juga bagi suku-sukunya atau bahagian-bahagiannya.

Baik dari asal ambilan bahasa, ataupun setelah dia diistilahkan, namun keduanya itu telah tergabung menjadi makna yang satu. Iaitu bahwasanya al-Quran memang di baca; kekuatannya terjadi pada pembacaannya. Walaupun kita baca sampai khatam, ataupun hanya satu ayat, namun dia tetap al-Quran.

Apabila kita renungi al-Quran itu kita akan berjumpa perbezaan isi dari Surat-surat atau ayat-ayat yang turun di Makkah ataupun yang turun di Madinah. Ayat-ayat yang turun di Makkah adalah khas bagi menetapkan dan meneguhkan akidah (kepercayaan) Islam yang pokok iaitu Tauhid. Dan menentang penyembahan berhala dan menuhankan benda dan seruan atau da’wah kepada manusia agar mereka memerdekakan akal dan jiwa dari perbudakan adat, kebiasaan, tradisi dan taqlid, menurut saja kepada nenek-moyang, dengan tidak usul-periksa. Dan orang selalu disuruh mempergunakan akal, fikiran, perenungan dan penyelidikan yang mendalam.

Kalau kita telah masuk kepada ayat-ayat yang diturunkan di Madinah, di sana mulailah kita bertemu dengan hukum-hukum Fiqh, peraturan dan segala yang bertalian dengan negara dan kemasyarakatan. Di Madinahlah mulai diterangkan hukum-hukum dan undang-undang yang mengenai peperangan, tentang hubungan di antara satu kekuasaan negara lain, peraturan-peraturan mengenai perjanjian dan perdamaian, urusan persuami-isterian dan pembinaan rumahtangga, mengenai nikah, talak dan rujuk, peraturan tentang perwarisan, dan membangun masyarakat yang adil dan makmur dengan adanya peraturan zakat dan haji, dan urusan-urusan lain yang semuanya bersendikan persamaan darjat dan adil.

Sebab-sebab perbezaan itu tentu sudah dapat diketahui oleh orang yang mempelajari sejarah hidup Rasulullah dan sejarah turunnya ayat-ayat al-Quran itu sendiri. Di Makkah barulah menyusun teman-teman yang sama-sama memahami untuk menentang kekuasaan yang masih tegak, iaitu kekuasaan berhala. Maka belumlah tepat waktunya kalau di Makkah telah di turunkan hukum-hukum yang mengenai masyarakat sebagai yang tersebut tadi. Di Makkah barulah memperkukuh akidah yang kelak akan diperjuangkan dimuka dunia ini. Lain halnya dengan keadaan setelah Hijrah ke Madinah. Sebab di Madinah, Islam telah menjadi daulah, telah merupakan suatu kekuasaan yang nyata dan dapat menegakkan hukum serta ada ummat yang akan mematuhinya.

Dan dengan sebab itu pula dapatlah difahami jika al-Quran itu, baik di kala turun di Makkah ataupun setelah zaman Madinah, tidaklah dia diturunkan sekaligus, melainkan sebahagian-sebahagian, seayat dua ayat, atau tiga dan empat ayat, menurut keperluan, terutama jika mengenai Surat-surat yang panjang. Bahkan satu Surat yang panjang kadang-kadang melalui masa berbulan-bulan sampai bertahun, baru selesai, iaitu supaya duduknya suatu soal yang tengah dituntunkan oleh Tuhan, mantap dalam fikiran dan jelas memutuskannya, sehingga kejadian lain yang terjadi di belakang dapat di qiyaskan kepada kejadian yang pertama itu yang dinamai asbabun nuzul.

Orang musyrikin sendiripun pernah menyatakan perasaan sebagai tersebut di dalam Surat 25 (al-Furqan) ayat 32. Di dalam ayat itu di sebutkan bahwa kaum musyrikin bertanya-tanya, mengapa al-Quran diturunkan tidak sekaligus (jumlatan wahidatan). Lalu Tuhan menyatakan sebabnya, iaitu supaya lebih mantap ayat-ayat itu dengan bacaan amat teratur sekali.

Hal ini dapat kita misalkan dengan kejadian di diri kita sehari-hari di dalam mempelajari ilmu pengetahuan, baik pengetahuan tentang bahasa atau ilmu yang lain. Walaupun misalnya sesuatu bahasa telah kita hafal kalimat-kalimatnya satu persatu, sebab telah kita pelajari sekaligus, barulah dia akan mantap dalam fikiran, apabila kita telah menghadapi kejadian itu sendiri dan dialami. Itulah sebabnya maka orang merasa amat penting mengadakan ”research”, iaitu penyelidikan ilmu pengetahuan dengan seksama, dengan menghadapi satu kenyataan. Meskipun telah belajar bahasa bertahun-tahun, barulah akan mantap, kalau tinggal di negeri yang empunya bahasa itu agak sekian bulan.

Jadi di dalam ayat 32 daripada Surat 43 itu terdapatlah dua hikmah. Pertama untuk memantapkan tiap-tiap persoalan itu di dalam hati Nabi, kedua supaya ayat-ayat al-Quran itu boleh di baca dengan sebenar-benar bacaan. Dan dengan turunnya semasa demi semasa itu, 13 tahun di Makkah, 10 tahun di Madinah, amat pentingnya, kerana senantiasa ada hubungan dengan Rasul s.a.w. dengan cahaya dari langit. Sedang kalau datang sekaligus, hanya sekali ketika turun itu sajalah hubungan beliau dengan langit. Oleh sebab itu maka masa 23 tahun itu benar-benar beliau rasakan selalu adanya hubungan, dan dirasakan pula oleh sahabat-sahabat Rasulullah, yang setiap ayat turun, di bacakan dengan seksama oleh Rasul, lalu mereka terima dan mereka hafalkan dan mereka baca.

(……bersambung ….)

Older Posts »