Taqwa
Menurut erti harfiah, taqwa bererti: hati-hati, ingat, mengawasi diri, berwaspada. Kata taqwa tidak dapat di ertikan sama dengan ”takut”, kerana sifat takut itu lebih banyak bercampur dengan rasa berani. Padahal persoalan taqwa ialah segi hubungan manusia dengan Tuhannya, di mana tidak boleh terdapat dalam hubungan itu unsur benci walaupun sedikit.
Dalam pengertian umum, taqwa ialah sikap dan cara berfikir atau mentaliti orang-orang mukmin dan kepatuhannya dalam melaksanakan perintah-perintah Allah s.w.t. serta menjauhi larangan-laranganNya atas dasar kecintaan semata.
Kriteria Orang yang bertaqwa
Untuk memahami taqwa itu dengan sebaik-baiknya, sudah tentu Qur’an lah sebaik-baik rujukan dalam memberi penjelasan dan keterangan kepada kita. Menurut Al-Qur’an, kriteria orang yang bertaqwa adalah sepertimana berikut:
Ertinya :
”Alif, Laam, Miim. Kitab Al-Qur’an ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi pertunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa; Iaitu orang-orang yang beriman kepada perkara-perkara yang ghaib, dan mendirikan (mengerjakan) sembahyang serta membelanjakan (mendermakan) sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab ”Al-Qur’an” yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yaqin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya). Mereka itulah yang tetap mendapat pertunjuk dari Tuhan mereka, dan merekalah orang-orang yang berjaya.”
( Surah Al-Baqarah (2) : 1 – 5 )
Berdasarkan ayat-ayat Al-Qur’an di atas, dapat di fahami bahawa, taqwa itu terdapat pada:
1. Mereka yang beriman pada yang ghaib seperti adanya Allah s.w.t., malaikat- malaikat dan Hari akhirat.
2. Mereka yang melaksanakan pokok-pokok Ibadah ( terutamanya solat, zakat, dan mereka yang berinfaq, membelanjakan hartanya di jalan Allah ). Ini menjadi bukti adanya iman bagi seseorang kepada yang ghaib.
3. Mereka beriman kepada yang ghaib dan melaksanakan pokok-pokok ibadah adalah orang yang beruntung hidupnya atau berjaya. Berjaya adalah cita-cita dan tujuan akhir dari segala kerja-kerja manusia di dunia ini. Sebab itu bila seseorang itu bertaqwa, maka dia di katakan telah sampai pada satu darjat yang tinggi.
Kitab Al-Qur’an selanjutnya menerangkan lagi berkenaan taqwa, sepertimana yang berikut:
”Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik; Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal.”
(Surah Ali Imran (3) : 133 – 136)
Menurut ayat-ayat di atas, kriteria muttaqin (orang-orang taqwa) ialah mereka yang :
1. Selalu menuju kepada ampunan (maghfirah) Tuhan. Ertinya sentiasa bekerja sesuai dengan redha Tuhan, bukan yang di larang dan yang di murkaiNya. Dan bila tersalah atau terlupa, cepat beristighfar (mohon ampun) pada Tuhan.
2. Suka menafkahkan (infaq) sebahagian harta bendanya, baik di waktu lapang mahupun di waktu sempit. Membayar zakat, memberi makanan kepada fakir miskin dan anak-anak yatim, memberi sumbangan atau derma kepada kegiatan dakwah Islam dan sebagainya, semuanya termasuk di dalam kategori menafkahkan sebahagian harta benda.
3. Sanggup menahan amarahnya. Ertinya orang yang dapat mengendalikan emosi dan nafsunya. Kemampuan seseorang mengendalikan emosi dan nafsunya membuat dia menjadi manusia besar, bukan besar fizikal tetapi besar jiwanya.
4. Memaafkan kesalahan orang lain. Tidak menaruh dendam terhadap seseorang kerana sesuatu kesalahan, baik sengaja mahupun tidak. Kerana dendam itu dapat membawa bencana terhadap diri sendiri, orang lain dan kepada masyarakat.
5. Berbuat baik, pemaaf dan jujur. Semua menjadi tanda takwa kepada Allah.
6. Apabila berbuat keji (faahisyah) dan menganiaya diri sendiri, segera mengingati Allah lalu memohon ampun. Perbuatan faashiyah ialah dosa besar yang mana bahayanya tidak hanya menimpa diri sendiri tetapi juga orang lain, seperti: membunuh, zina dan riba. Sedang menganiaya diri sendiri ialah melakukan dosa yang bahayanya terhadap diri sendiri sahaja.
7. Tidak lagi meneruskan perbuatan dosanya ketika dia mengetahui bahawa perbuatan itu mengandungi dosa. Atau tidak mengulangi kembali dosa-dosa dan kesalahan-kesalahan yang pernah dilakukannya secara sedar.
Keterangan ini menegaskan bahawa taqwa itu adalah sikap hidup dan akhlak seorang muslim, yang merupakan buah dan hasil didikan ibadah-ibadah pokok. Sedang ibadah-badah itu sendiri adalah pancaran keluar daripada iman. Tepat sepertimana firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Baqarah, ayat 21:
Ertinya :
Wahai sekalian manusia! Beribadatlah kepada Tuhan kamu yang telah menciptakan kamu dan orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu (menjadi orang-orang) bertaqwa.”
Berikut ini ada lagi beberapa kriteria orang-orang yang taqwa sepertimana di jelaskan di dalam Al-Qur’an, iaitu mereka yang :
1. Menepati Janji.
”Bahkan (mereka berdosa memakan hak orang, kerana), sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertaqwa, maka sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.”
(Surah Ali Imran (3) : 76)
2. Menegakkan Keadilan.
”Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.”
(Surah Al-Maidah (5) : 8)
3. Bersifat Pemaaf.
”Dan jika kamu ceraikan mereka sebelum kamu sentuh (bercampur) dengan mereka, padahal kamu sudah menetapkan kadar maskahwin untuk mereka, maka mereka berhak mendapat separuh daripada maskahwin yang telah kamu tetapkan itu, kecuali jika mereka mema’afkannya (tidak menuntutnya); atau (pihak) yang memegang ikatan nikah itu mema’afkannya (memberikan maskawin itu dengan sepenuhnya). Dan perbuatan kamu berma’af-ma’afan (halal menghalalkan) itu lebih hampir kepada taqwa. Dan janganlah pula kamu lupa berbuat baik dan berbudi sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa melihat akan apa jua yang kamu kerjakan.”
(Surah Al-Baqarah (2) : 237)
4. Bersifat Istiqamah, iaitu berkeperibadian kuat dan teguh.
”Bagaimanakah dapat diakui adanya perjanjian (keamanan) disisi Allah dan RasulNya bagi orang-orang musyrik (sedang mereka mencabulinya)? Kecuali orang-orang (musyrik) yang kamu telah mengikat perjanjian setia dengan mereka dekat masjid Al-Haraam. Maka selagi mereka berlaku lurus terhadap kamu, hendaklah kamu berlaku lurus (istiqamah) pula terhadap mereka; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaqwa.”
(Surah At-Taubah (9) : 7)
5. Tidak mempunyai rasa takut dan duka cita dalam hidup yang mencabar, seperti sifatnya wali-wali Allah.
”Ketahuilah! Sesungguhnya wali-wali Allah, tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita. (Wali- wali Allah itu ialah) orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.
(Surah Yunus (10) : 62-63)
6. Sabar, iaitu orang yang tabah, tahan uji, pantang menyerah dan berputus asa. Sabar dalam beribadah, sabar dalam berjihad, sabar menghadapi musibah, sabar dari perbuatan maksiat dan sabar dari godaan duniawi.
”Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).”
(Surah A-li’Imran (3) : 200)
Manusia yang berjaya mencapai darjat takwa kemudian berusaha mempertahankannya, di anggap sebagai manusia yang berjaya ibadahnya. Allah s.w.t. meletakkan manusia takwa sebagai manusia yang paling mulia disisi dan dalam pandanganNya, seperti firmanNya di dalam Surah Al-Hujarat (49) : Ayat 13, maksudnya:
”Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya diantara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).
taqwa adalah penting bagi memandu umat islam ke arah yang benar…
SubhanaAllah…tanpa iman dan takwah ibarat seperti hidup tanpa haluan…
Tingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah, agar rizqi kita banyak, selamat dunia dan akhirat