KUALA LUMPUR 28 April – Persidangan Penyelarasan Undang-Undang Syarak/Sivil Kali ke-18 sebulat suara berpendapat bahawa tidak ada keperluan bagi mereka yang bukan Islam memaklumkan kepada keluarga sebelum memeluk agama itu.
Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz yang mempengerusikan persidangan berkenaan berkata, berdasarkan hukum syarak tidak ada nas mensyaratkan supaya seseorang yang ingin memeluk agama Islam perlu memaklumkan terlebih dahulu kepada keluarga mereka.
“Ahli persidangan juga berpendapat tindakan memaklumkan keluarga diserahkan kepada kebijaksanaan individu yang ingin memeluk agama Islam itu sendiri.
“Individu yang ingin memeluk Islam akan menentukan cara, bagaimana dan bila masa yang sesuai untuk memberitahu keluarganya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Wan Mohamad, peruntukan undang-undang sedia ada mengenai kemasukan Islam dan perkara berkaitan dengannya adalah mencukupi serta amalan sedia ada akan diteruskan.
“Kaedah-kaedah pendaftaran, penjagaan dan pengajaran mualaf perlu digubal supaya lebih mantap dan berkesan,” katanya.
Tambah beliau, berdasarkan hukum syarak, kewajipan dan tanggungjawab terhadap ibu bapa yang tidak memeluk agama Islam adalah tidak terhenti meskipun seseorang itu telah memeluk agama Islam.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan untuk memperkenalkan satu peraturan baru mewajibkan mereka yang ingin memeluk agama Islam mengisytiharkan perkara itu secara terbuka bagi mengelak masalah pada kemudian hari.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika membuat pengumuman berkenaan berkata, tindakan memeluk Islam yang dibuat secara senyap-senyap seperti diamalkan sebelum ini mengundang banyak masalah sehingga menyebabkan berlaku ketegangan kaum.
Komen : Sebagai seorang muslim, Perdana Menteri sepatutnya merujuk kepada para Ulama’ dahulu sebelum membuat pengumuman sebab beliau bukan ahli dalam agama Islam. Jika tindakan memeluk Islam di isytiharkan kepada keluarga akan menyebabkan masalah besar kepada si pemeluk Islam. Telah ramai yang hilang nyawa di bunuh dengan kejam dan di aniaya secara terang-terangan. Jangan lah di sebabkan takut hilang kuasa dan sokongan, ajaran agama yang sebenar di buang tanpa rasa berdosa. Walaupun kita seorang Raja, kita tetap hina di sisi Allah s.w.t. Al-Quran dan Hadith adalah rujukan utama kita.
Leave a Reply