Al-Quran disebut juga al-Kitab, adalah wahyu-wahyu yang di turunkan Tuhan kepada RasulNya, dengan perantaraan Malaikat Jibril, untuk di sampaikan kepada manusia.
Kumpulan dari semua wahyu itu, yang berjumlah menurut perhitungan yang umum 6,236 ayat terdiri daripada 114 Surat, diturunkan dalam dua masa. Pertama di Makkah, dalam masa 13 tahun, yang sejak Rasulullah s.a.w. di tentukan Tuhan dan ditetapkanNya menjadi Rasul pada tahun ke 41 daripada usianya, sampai beliau berpindah ke Madinah. Kedua ialah masa Madinah, iaitu sejak beliau berpindah ke negeri itu sampai beliau wafat, dalam masa sepuluh tahun.
Erti al-Quran menurut bahasa (lughah) ialah barang yang di baca.
Dan al-Quran itu menurut undang-undang bahasa adalah kalimat Mashdar, iaitu dasar kata, yang bererti bacaan, tetapi di ertikan lebih dekat kepada sesuatu yang dikerjakan (isim maf’ul) menjadi ertinya yang dibaca.
Menurut ahli-ahli Syariat, al-Quran itu ialah Kalamullah (sabda Tuhan) yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang dituliskan di dalam Mushaf.
Dan ahli Fiqh menentukan pula bahwasanya al-Quran itu adalah nama yang diberikan kepada keseluruhan al-Quran dan dinamakan juga bagi suku-sukunya atau bahagian-bahagiannya.
Baik dari asal ambilan bahasa, ataupun setelah dia diistilahkan, namun keduanya itu telah tergabung menjadi makna yang satu. Iaitu bahwasanya al-Quran memang di baca; kekuatannya terjadi pada pembacaannya. Walaupun kita baca sampai khatam, ataupun hanya satu ayat, namun dia tetap al-Quran.
Apabila kita renungi al-Quran itu kita akan berjumpa perbezaan isi dari Surat-surat atau ayat-ayat yang turun di Makkah ataupun yang turun di Madinah. Ayat-ayat yang turun di Makkah adalah khas bagi menetapkan dan meneguhkan akidah (kepercayaan) Islam yang pokok iaitu Tauhid. Dan menentang penyembahan berhala dan menuhankan benda dan seruan atau da’wah kepada manusia agar mereka memerdekakan akal dan jiwa dari perbudakan adat, kebiasaan, tradisi dan taqlid, menurut saja kepada nenek-moyang, dengan tidak usul-periksa. Dan orang selalu disuruh mempergunakan akal, fikiran, perenungan dan penyelidikan yang mendalam.
Kalau kita telah masuk kepada ayat-ayat yang diturunkan di Madinah, di sana mulailah kita bertemu dengan hukum-hukum Fiqh, peraturan dan segala yang bertalian dengan negara dan kemasyarakatan. Di Madinahlah mulai diterangkan hukum-hukum dan undang-undang yang mengenai peperangan, tentang hubungan di antara satu kekuasaan negara lain, peraturan-peraturan mengenai perjanjian dan perdamaian, urusan persuami-isterian dan pembinaan rumahtangga, mengenai nikah, talak dan rujuk, peraturan tentang perwarisan, dan membangun masyarakat yang adil dan makmur dengan adanya peraturan zakat dan haji, dan urusan-urusan lain yang semuanya bersendikan persamaan darjat dan adil.
Sebab-sebab perbezaan itu tentu sudah dapat diketahui oleh orang yang mempelajari sejarah hidup Rasulullah dan sejarah turunnya ayat-ayat al-Quran itu sendiri. Di Makkah barulah menyusun teman-teman yang sama-sama memahami untuk menentang kekuasaan yang masih tegak, iaitu kekuasaan berhala. Maka belumlah tepat waktunya kalau di Makkah telah di turunkan hukum-hukum yang mengenai masyarakat sebagai yang tersebut tadi. Di Makkah barulah memperkukuh akidah yang kelak akan diperjuangkan dimuka dunia ini. Lain halnya dengan keadaan setelah Hijrah ke Madinah. Sebab di Madinah, Islam telah menjadi daulah, telah merupakan suatu kekuasaan yang nyata dan dapat menegakkan hukum serta ada ummat yang akan mematuhinya.
Dan dengan sebab itu pula dapatlah difahami jika al-Quran itu, baik di kala turun di Makkah ataupun setelah zaman Madinah, tidaklah dia diturunkan sekaligus, melainkan sebahagian-sebahagian, seayat dua ayat, atau tiga dan empat ayat, menurut keperluan, terutama jika mengenai Surat-surat yang panjang. Bahkan satu Surat yang panjang kadang-kadang melalui masa berbulan-bulan sampai bertahun, baru selesai, iaitu supaya duduknya suatu soal yang tengah dituntunkan oleh Tuhan, mantap dalam fikiran dan jelas memutuskannya, sehingga kejadian lain yang terjadi di belakang dapat di qiyaskan kepada kejadian yang pertama itu yang dinamai asbabun nuzul.
Orang musyrikin sendiripun pernah menyatakan perasaan sebagai tersebut di dalam Surat 25 (al-Furqan) ayat 32. Di dalam ayat itu di sebutkan bahwa kaum musyrikin bertanya-tanya, mengapa al-Quran diturunkan tidak sekaligus (jumlatan wahidatan). Lalu Tuhan menyatakan sebabnya, iaitu supaya lebih mantap ayat-ayat itu dengan bacaan amat teratur sekali.
Hal ini dapat kita misalkan dengan kejadian di diri kita sehari-hari di dalam mempelajari ilmu pengetahuan, baik pengetahuan tentang bahasa atau ilmu yang lain. Walaupun misalnya sesuatu bahasa telah kita hafal kalimat-kalimatnya satu persatu, sebab telah kita pelajari sekaligus, barulah dia akan mantap dalam fikiran, apabila kita telah menghadapi kejadian itu sendiri dan dialami. Itulah sebabnya maka orang merasa amat penting mengadakan ”research”, iaitu penyelidikan ilmu pengetahuan dengan seksama, dengan menghadapi satu kenyataan. Meskipun telah belajar bahasa bertahun-tahun, barulah akan mantap, kalau tinggal di negeri yang empunya bahasa itu agak sekian bulan.
Jadi di dalam ayat 32 daripada Surat 43 itu terdapatlah dua hikmah. Pertama untuk memantapkan tiap-tiap persoalan itu di dalam hati Nabi, kedua supaya ayat-ayat al-Quran itu boleh di baca dengan sebenar-benar bacaan. Dan dengan turunnya semasa demi semasa itu, 13 tahun di Makkah, 10 tahun di Madinah, amat pentingnya, kerana senantiasa ada hubungan dengan Rasul s.a.w. dengan cahaya dari langit. Sedang kalau datang sekaligus, hanya sekali ketika turun itu sajalah hubungan beliau dengan langit. Oleh sebab itu maka masa 23 tahun itu benar-benar beliau rasakan selalu adanya hubungan, dan dirasakan pula oleh sahabat-sahabat Rasulullah, yang setiap ayat turun, di bacakan dengan seksama oleh Rasul, lalu mereka terima dan mereka hafalkan dan mereka baca.
(……bersambung ….)
Assalamualaikum….
Semua artikel di dalam blog ini amat menarik, namun perlu lah ia disertakan dengan hadis2 nabi yg sahih. hadis2 sahih yg tak diragui kesahihannye adalah daripada hadis bukhari & muslim…
Jadi dalam apa2 petua atau apa2 amalan dalam mengamalkannye adalah lebih baik berpandukan hadis nabi s.a.w yg sahih agar kite memperoleh keredhaan-Nya
Ini kerana nabi s.a.w adalah contoh ikutan yang perlu setiap umat islam turuti n ikuti, kerana setiap apa yg ditunjuk olehnye berdasarkan hadis2 yg sahih yg telah dikumpulkan oleh para ulama2 hadis saja lah yg pasti menjamin kite ke jalan yang benar…
Kerana petunjuk dari nabi adalah benar kerana nabi adalalah pesuruh Allah.
Itu saja serba sedikit komen dari saya,jika ada kesilapan dan tersalah berbicara harap dapat dimaafkan
Sekian di maklumkan,
p/s: teruskan menulis keep up the good work 🙂